Abu Farhat Photoblog

Khutbah Kematian

Posted in Ibrah by abufarhat on November 10, 2009

Bila waktu telah berakhir, teman sejati hanyalah amal.

Khutbah Kematian.

Khutbah yang disampaikan selepas jenazah selesai ditanam, sebelum talkin dibaca.

Tidak ada yang lebih mengingatkan dari itu.

Jauh lebih berkesan dari khutbah nikah. Apalagi khutbah Jumaat yang telah entah berapa kali ditapis-dipotong-dirakam agar yang bersalah tak terasa yang hujung hujungnya hanya sekadar doa buat Perdana Menteri dan Raja Raja.

Khutbah kematian itu berbeza.

Kerana meski tanpa imam/khatib yang bijak bermain kata, makhluk Allah yang lain seolah bisa bicara.

“Ingatlah manusia, jika datang waktumu, wajah, tubuh yang kau banggakan dulu akan aku makan satu persatu, lapis demi lapis, sampai cuma belulang yang tersisa” ujar cacing dan mikroorganisme pengurai lainnya.

“Ingatlah manusia, kalau datang waktu itu, semua pakaian dan perhiasan yang kamu pertontonkan tidak akan kamu bawa. Dan orang orang yang kamu cintai hanya akan membelikan aku, kain putih kasar yang murah, biar sebanyak mana wang yang tersimpan” tokok si kain putih buat kafan.

“Ingatlah manusia, kalau sampai waktu itu, akulah yang akan menjadi tempat perbaringanmu, tanah merah berlumpur yang satu ketika dahulu berjingkit kaki, mengangkat kain buat menghindarnya” bicara tanah.

Buat si mati, kematian hanyalah “tempat berhenti” yang segalanya tak mungkin diundur lagi. Jadi yang paling patut mengambil ibrah siapa lagi kalau bukan kita yang masih berpijak dibumi.

“Bila waktu telah memanggil

Teman sejati hanyalah amal

Bila waktu telah terhenti

Teman sejati tingallah sepi”

p/s : Takziah buat Sabri (gigahertzz.blogspot.com) yang kehilangan ibu tercintanya. Moga ruh ibunya ditempatkan bersama orang yang beriman lainnya. Moga keluarga diberikan kekuatan untuk mengutip butir hikmah dari musibah, yang juga pasti akan sampai gilirannya buat kita semua.

Al fatihah

Leave a comment