Abu Farhat Photoblog

Surat Cinta buat Fatimah Najlaa

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on February 11, 2013

image

Dear Fatimah Najlaa,

Allah sahaja yang tahu betapa berserinya ummi dan baba dengan kelahiranmu.
Ummi terutamanya.

Seperti abang abang mu, kelahiran anakanda mudah. Meskipun rahim ummi kerap sakit semenjak anakanda masih 28 minggu, namun syukur, andakanda hanya lahir pada usia 37 minggu. Tidak lebih dan tidak kurang.

Nama?

Tidak ada yang pernah meragukan betapa hebatnya anak nabi kita, Sayyidatina Fatimah. Dibesarkan dalam suasana kenabian, beliau benar benar tersibghah dengan akhlak dan perilaku ibubapanya. Sehingga beliau memimpin rombongan muslimah di syurga. Meski rumah kita, masih jauh dari suasana mulia itu, dengan izin dan bimbingan Allah, baba harap anakanda dapat berusaha untuk menjadi sehebat namamu. Somehow.

Najlaa. Yang bermata besar. Yang berpandangan jernih. Ya, memang anakanda sepet seperti ummi dan baba, kerana darah cina/korea/jepun (korea dengan jepun tu tipu) yang kami bawa, namun erti dan makna yang tersiratnya yang baba mahu. Melihat sesuatu dengan jelas, yang tersurat mahupun yang tersirat, sesuai dengan kehendak Allah.

Baba sudah pun mengingatkan ummi untuk tidak memanjakan dirimu, tapi kata ummi, baba yang akan lebih memanjakan dirimu. Mungkin benar. Tidak seperti kedua abangmu, baba akan lebih menjaga dirimu kerana sifat hawa yang anakanda ada. Kerana dirimu begitu berharga (macam iklan pula). Kalau kedua abangmu akan baba biasakan berdikari, dirimu akan lebih kami bantu. Kalau kedua abangmu baba akan belikan pakaian sederhana, untukmu kami akan lebih banyak berbelanja, agar aurat dirimu tetap terjaga.Sekali lagi, syukur baba panjatkan ke hadrat Yang Esa atas kehadiran anakanda.

Baba sengaja menulis surat ini supaya surat cinta yang pertama buat anakanda datang dari baba. Dan surat yang cinta kedua yang baba restui adalah dari suami anakanda yang menyayangi anakanda seperti baba, suatu hari nanti.

Semoga anakanda membesar dengan sihat walafiat, dunia dan akhirat.

Love,
BABA
10 Desember 2012

Advertisements

Aqsa2Gaza13 – The Invitation

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on February 4, 2013

image

THE INVITATION

Bumi anbiya’, Palestin, memang wangi. Kesempatan untuk menghampirinya saja ketika mengikuti Global March to Jerusalem di Jordan tidak membuatkan perasaan untuk memasukinya berkurangan malah sebaliknya.

Kerana itu, melihat sahabat satu persatu memasukinya membuatkan diri sangat cemburu. In a positive way tentunya. Namun melihat gambaran kewangan bulanan, mengumpul wang untuk ke sana kelihatan tidak mudah. Azam pun dipasang untuk menjejakkan kaki kesana pada 2013. Bagaimana caranya itu soal kedua. Masih berharap rahmat Allah untuk sudi menghantar jemputannya.

Dan akhirnya, undangan itu datang juga. Melalui email seorang sahabat. “enta nak pergi gaza?”. Ringan saja tangan menjawab ” Nak. Nak.” Lepas itu baru kalut nak fikir, manalah nak cekau duit rm6000. Ya. Rm 6000 untuk pendaftaran, tiket pesawat, tempat tinggal dan lainnya. Meskipun misi kesana masih dalam lingkup kerja Aqsa Syarif, duit derma adalah untuk diberikan kesana. Setiap anggota misi tetap berangkat dengan duit kocek sendiri.

Namun ternyata, Allah punya caranya. Eventhough in a not very common way. Dipendekkan cerita akhirnya Dia cukupkan juga.

AQSA ASY SYARIF

Kenapa saya pergi dengan Aqsa Syarif?
Kan banyak badan kemanusiaan khusus Palestin yang lain, jadi kenapa Aqsa Syarif yang menjadi pilihan?

1) Aqsa Syarif bukanlah yang paling awal, namun antara yang paling meningkat prestasi kerjanya. Bayangkan, dari jumlah sekian belasan juta ringgit yang disumbangkan oleh Malaysia, in general, dari sumbangan rasmi kerajaan Malaysia, NGOs, mahupun para dermawan, lebih kurang rm 10juta tersalur dari Aqsa Syarif sahaja.

2) Aqsa Syarif mempunyai hubungan secara langsung dengan bukan 1,2 NGO di palestin, tetapi dengan Mujtama’ iaitu persatuan yang mengawal keseluruhan dari lebih 200 NGO di Palestin. Bahkan nama Aqsa Syarif sahaja adalah cadangan dari orang Palestin sendiri. Kerana itu namanya berbunyi arab, diambil dari Aqsa Asy Syarif.

3) Banyak NGO palestin di sana. Namun cuma NGO atau projek yang benar benar layak sahaja mendapat keutamaan. Setiap misi (dari Aqsa2Gaza1 hinggalah Aqsa2Gaza13 yang terbaru) bukan sahaja membawa misi baru tetapi juga mengaudit dan memonitor projek yang telah sedia ada. Ini kerana bantuan untuk palestin adalah untuk jangka panjang dan berterusan. Bukan sekadar hangat hangat tahi ayam.

4) Dalam memastikan setiap sumbangan masyarakat Malaysia bermanfaat, keperluan untuk misi misi Aqsa Syarif datang dari aktivis sendiri. Ini mengelak daripada masalah ketidaktelusan dalam pengurusan dana yang rentan untuk disalah guna.

Meskipun permohonan sudah dihantar, saya masih perlu menunggu kelulusan dari Aqsa Syarif Pusat. Tidak semua yang ada duit pasti pergi. Orang Palestin sudah sedia sibuk dalam membangun semula Gaza yang diserang Israel kira kira 2 bulan lalu. Kehadiran orang luar akan secara tidak langsung mengganggu tugasan harian mereka. Ini ditambah lagi dengan budaya mereka yang sangat menghormati tetamu. Kerana itu, mereka yang pergi mestilah bukan sahaja dapat membantu misi secara langsung, tetapi juga yang dapat memberi manfaat sekembali mereka ke tanahair nanti.

Aqsa2Gaza13.
Nama misi ini adalah LENSA GAZA.
Kenapa? Nantikan post saya seterusnya.
Jeng Jeng Jeng (bajet)…

 

P/s : Hari ini, 4 februari 2013 merupakan ulang tahun ke 3 penubuhan Aqsa Syarif. Moga terus mekar!

Global March to Jerusalem [the day] [volume ii]

Posted in Abu Farhat Life, Abu Farhat Photography by abufarhat on April 5, 2012

Global March to Jerusalem [the Day] [volume i]

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on April 4, 2012

[ 2km from Jordan-Israel(read Palestine) Border]

[to be continued]

Global March to Jerusalem. Satu Tarbiyah Hati. [Part 3]

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on April 4, 2012

[29 March 2012]
-1 the day

“InsyaAllah besok pagi kita akan bergerak dan berkumpul bersama di lapangan berdekatan Baptism site, bersama ribuan yang lainnya. Tidak ada marching. Tidak akan masuk ke Baitul Maqdis”

Pengumuman dari wakil Malaysia untuk GMJ, En Azmi. Selepas dari kalimat tersebut, jujur, saya seolah tidak mendengar apa apa. Kecewa. Sangat.

Perlahan saya angkat kepala. Melihat satu persatu peserta lainnya. Ada yang pandai menyembunyikan rasa. Rasa yang sama. Tapi kebanyakan tidak. terutama pemuda dengan darah panas. Seusia saya. Memang tidak pandai berlakon.

Kecewa?
Kenapa tidak?
Kami telah mengorbankan masa, keluarga, dan yang paling penting perasaan kami demi melangkah masuk dengan gah ke Baitul Maqdis. Alih alih, hanya berkumpul. Yang mungkin lebih hebat di tanahair. Yang mungkin lebih menantang di tempat lain.

Bak kata orang Indonesia, Kecewa Berat.

Tapi alhamdulillah, ini bukan kali pertama saya dikecewakan oleh sang realita. Ketika yang diharapkan, yang dirasakan terbaik tidak sesuai dengan Qada’Nya.

Perkara pertama, Taat dulu. Taat itu tidak memerlukan faham. Justeru ia lebih diperlukan ketika kita tidak faham, ketika persoalan lebih banyak dari jawapan.

Malam itu, surah Al Anfaal tetap saya “jamah”.
Perlahan lahan, Allah hilangkan kegusaran,
Kejernihan perlahan membersihkan kekeruhan.
Kekusutan mula beransur rapi.
Dan hati perlahan mengambil peran emosi.

Ketika permulaan niat datang dari Qiyadah, dan kebetulan bersesuaian dengan gerak rasa kita, kita mampu untuk taat dengannya. kenapa ketika datang arahan dari Qiyadah tetapi kali ini tidak kena dengan rasa kita, jiwa seolah menolaknya?

Ketika selama ini, kita mampu bersabar dengan manhaj yang kita yakini, perlahan tapi pasti mampu mengubah dunia, meski di hujat oleh mereka yang fikirkan Khilafah boleh datang dengan sekelip mata, boleh tertegak dengan duduk di masjid sahaja, boleh terjadi dengan hanya kuasa, wujud dengan memperjuang bangsa dan sebagainya. Tapi kita tetap yakin dan percaya. Bahawa setiap perkara perlu proses, perlu tahapan, perlu marhalah, jauh sebelum sampai ke natijah.

Dan kita mahu ingkar terhadapnya, kali ini?

Dan saya teringat doa paling banyak dipanjatkan sebelum dan ketika perjalanan. Doa yang sama dipanjatkan ibu, isteri, dan ikhwah lainnya; KELURUSAN NIAT.

Jordan ternyata masih sekutu kuat Israel. Kehidupan rakyatnya, tidak lari jauh dengan umat Islam di pelosok dunia lain, masih jauh dari ummat harapan. Bahkan, kalau tidak kerana pengaruh kuat sahabat sahabat, ikhwah akhawat Jordan melalui Persatuan Jurutera di sana, sudah pasti tidak akan ada sebarang perkumpulan.

Dan para pemimpian yang faham akan panjang jauhnya perjalanan dakwah, sudah menjangkakan hal ini dari awal. Namun menyelamatkan atau membebaskan Al Aqsa tetapu bukan perjuangan yang mudah. Sangat susah malah. Maka ia juga perlu tahapan. Bahkan untuk bala tentera Salahuddin Al Ayubi. Salahuddin Al Ayubi hanyalah seorang penuntas, tetapi perjuangannya dimulai jauh sebelum Salahuddin mengenal apa itu jihad, apa itu tentera.

Dan ketika Allah memuliakan kita, untuk menjadi sebahagian dari tenteranya, meski tidak ada yang tahu, kenapa kita mahu menolaknya?

Teringat suatu hadith, tentang bagaimana di akhirat nanti, seorang hamba Allah didatangi oleh Malaikat dengan membawa pakaian dan harta yang cantik lagi memukau. Maka si fulan pun bertanya, untuk siapakah itu? Dijawab oleh malaikat; untuk anda ya fulan, kerana anda telah memenangkan Islam. Maka bertanya dengan hairan si fulan itu, “ketika aku mati, keadaan masih seperti itu juga. Islam masih dinjak injak, apalagi memerintah dunia”. Maka dengan tenang malaikat menjawab “benar, ketika itu Islam memang belum menang, tetapi Allah tetap mengira usahamu dan memberikan pahala kerana anak yang kau didik meneruskan perjuanganmu sehingga kejayaan itu datang..!

Dan akhirnya, bertemankan butiran istighfar …perlahan mata ini terlelap, tenang.

Keeesokan paginya saya tetap bangun, mandi sebersih bersihnya…wangi…seperti seorang yang ingin bertemu sang kekasih…

Global March to Jerusalem. Satu Tarbiyah Hati. [Part 1]

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on April 4, 2012

[4 March 2012]
Meeting MyGMJ NS yang pertama. Dapat tahu tentang peluang join bersama ribuan lainnya ke Baitul Maqdis. Sebelum ni, bukan tidak ada pakej Umrah + Lawatan ke Baitul Maqdis. Cuma sebab adanya fatwa Syeikhul Azhar dan Yusuf Qardawi tentang pengharaman lawatan ke Baitul Maqdis, atas dasar visa kesana (usd 1000) akan masuk ke dana Israel laknatullah, maka hajat untuk ke bumi penuh berkat tidak pernah difikirkan dengan serius. Di samping itu, kerana sebeum ini, tidak pernah ada undangan rasmi dari ikhwan/saudara dari palestin. Sebab biasanya, mereka lebih tahu apa yang mereka perlukan. Kehadiran tetamu tidak diundang hanya akan memberatkan beban kerja mereka yang sudah sedia maklum tidak ringan. Tetapi untuk Global March to Jerusalem, buat pertama kali..ada ajakan rasmi, yang keluar dari Perdana Menteri Palestin sendiri; Ismail Haneya

tapi….
waktu peluang itu datang
keadaan kewangan agak tidak memungkin
Participant need to pay rm 5k, for the ticket, accomodation and transportation.
hanya disimpan dalam dalam
terkilan

[12 March 2012]
Dapat call dari Akh Shamsuri, PIC MyGMJ NS.
“akh, enta pergi Palestin boleh, Global March.?”
“err..boleh sangat…tapi ana punya financial tak memungkinkan” timpal ana, masih separuh terkejut.
” berapa anta boleh?”
“Paling kuat pon, kalau dah korek korek, rm 2k”
“okay…takpa…lagi 3k nanti kami cari…tapi anta confirm pergikan”
“insyaAllah…terima kasih sangat sangat” (dalam hati ada taman)

Just like that.

Kenapa tak istikharah? Kenapa tak tanya orang rumah?
Untuk apa istikharah untuk sesuatu yang sudah jelas. Keputusan Qiyadah.Tanya orang rumah? Untuk main futsal pun saya tak tanya, inikan pulak untuk hal sebesar ini.

Malam tu, telefon Head of Department, just beritahu nak ambil cuti seminggu, dari tarikh sekian ke sekian. Akan settlekan masalah oncall dan yang lain. Alhamdulillah, dapat HOD yang ada kesedaran Islam. Dia okay saja, asalkan ana settlekan hal yang tersebut diatas.

Malam tu jugak, Bank in deposit. Isi borang. Email ke Sekretariat MyGMJ di Putra Jaya. Sebab tarikh last besok. 13 March 2012.

Besok tu baru bagitau orang rumah. Alhamdulillah. 9 tahun kahwin, dia cukup kenal suami. In fact, bagi support lagi. Morally and financially. Financially sebab memang kami share sama rata perbelanjaan bulanan kami. Kalau keluar duit, walaupun dari akaun saya, tapi kira berdua, begitu juga sebaliknya.

Bagitau mak pula. Perkataan pertama keluar. Allahu Akbar. Alhamdulillah. Mama support seribu. Mudah mudahan Allah kira sebagai amal ibadah mama juga.
Saya balas balik; Kalau seandainya Allah terima amal kerdil ini sebagai pahala, tanpa mama bagi duit pun khabbab dah niatkan awal awal, pahala untuk arwah baba dan mama.

Selesai banyak masalah.

Yang payah sikit, masalah oncall. Sebab oncall yang ada in between the period, adalah weekend call. Susah nak cari yang free, banyak yang dah ada rencana sendiri. Tapi alhamdulillah, colleague saya memang sempoi. Mereka manage juga untuk cari pengganti. Walaupun bagi keputusan 3 hari sebelum berangkat pergi.

The other rm 3000? dari tabung aqsa syarif Negeri Sembilan? tabung IKRAM negeri sembilan? nope. Rupa rupanya mereka buat kutipan sikit seorang dari anggota IKRAM Negeri Sembilan yang tidak seramai mana, sampai cukup. *sangat terharu, terhutang budi*

Sekarang tinggal tunggu hari.

No MPM 27858

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on December 24, 2011

Found this while browsing MMC register page

every soul should experiences death..one may still a doctor in MMC, but down there…its nothing…the only thing that matters is the good you brought to Deen and peoples around when you still practising..

O Allah! Forgive him and have Mercy on him and give him strength and pardon him. Be generous to him and cause his entrace to be wide and wash him with water and snow and hail.
Cleanse him of his transgressions as white cloth is cleansed of stains. Give him an abode better than his home, and a family better than his family and a wife better than his wife. Take him into Paradise and protect him from the punishment of the grave (and of the fire)

Kangen Makassar

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on October 27, 2011


Eid Mubarak!

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on August 29, 2011

Saya cuba untuk gembira, tapi tetap tak boleh. Saya bukanlah sealim para sahabat, tapi demi Allah, perasaan rugi dengan prestasi Ramadhan lebih besar dari euforia Eid.

Dan begitulah hakikat manusia, nikmat dirasa hanya apabila sudah tiada.

Ya Allah, aku merayu, pertemukanlah aku dengan Ramadhan akan datang dengan persiapan yang lebih baik. Natijah yang lebih baik. Ya Rabb!

Eid Mubarak dari Abu Farhat sekeluarga.

Khaleed Ayyash

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on October 25, 2010

Kehadapan Anakanda tersayang

Dikala anakanda dapat membaca surat ini, ayahanda berharap anakanda sedang dalam keadaan sihat walafiat tubuh badan, tetap dalam iman, bahagia dalam ketaqwaan, mujahadah dalam perjuangan kebenaran.

Wahai anakanda
Ketahuilah ayahandamu ini, bukanlah seseorang yang kaya harta yang dapat mewariskan kekayaan untuk anak cucunya, bukanlah orang yang punya pangkat mahupun kedudukan yang kalian dapat berbangga dengannya. Kalaupun ayahanda punya kedua hal tersebut, ia hanyalah sebuah fatamorgana dunia yang tidak kekal, malah bisa menjadi  sebuah fitnah yang tidak akan membawa sebarang manfaat apapun.

Yang ayahanda ada, hanyalah sedikit kefahaman tentang betapa pentingnya doa seorang ayah buat anaknya. Dan tidak ada cara yang lebih baik untuk baba mendoakan anak anak baba secara berterusan kecuali dengan nama. Ya, nama yang ayahanda berikan buat anakanda.

Ayahanda percaya dengan sabda Nabi kita, bahawa nama itu adalah doa. Kerana setiap kali namamu dipanggil, disebut terutama oleh ummimu, ia seakan akan doa yang terus mengalir.

Oleh yang demikian, ayahanda tidak memberikan nama nama yang sedang menjadi trend, kerana trend untuk sesebuah nama hanya bersifat sesaat. Ada nama yang dulunya sangat popular, tapi sekarang tidak lagi. Begitupun sebaliknya. Ayahandaa tidak memberikan kamu nama nama orang yang terkenal dengan keduniaan, apalagi dengan maksiat, kerana tidak ada yang lebih ayahanda ingin anakanda dijauhkan daripada dirimu melainkan kecintaan berlebihan terhadap dunia ataupun peribadimu berbungkus dengan mazmumah.

Dan ketahuilah ayahanda tidak memberikan namamu atas dasar sedap didengar, kelihatan hebat atau alasan cetek lainnya, sekali lagi kerana baba percaya akan kekuatan doa yang dibawa oleh nama.

Anakanda,
ketahuilah, setiap peribadi hebat Islam memiliki tempat yang hebat dimata ayahanda. Namun setiap peribadi yang hebat, adalah manusia yang punya personaliti sendiri. Sebagai contoh mudah, Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab, kedua duanya sahabat setia nabi, kedua duanya memiliki jaminan syurga, dan kedua duanya mempunyai sejarah yang mereka tulis dengan tinta emas-amal mereka. Tapi tetap, mereka punya karakter yang berlawanan seperti antara langit dan bumi. Dan ayahanda adalah seorang yang tertarik dengan peribadi tegas, keras, seperti Umar.

Sosok lain dalam suku Saidina Umar, suku Bani Makzum, yang turut terkenal dengan kepahlawanan beliau adalah KHALEED IBN WALEED. Seperti yang anakanda ketahui, Khaleed adalah bukti nyata sosok Jeneral perang ulung dalam sejarah Islam. Khaleed seperti juga Umar, punya keberanian dalam membela mereka yang lemah, dan tidak kenal takut dalam mengisytiharkan keislaman mereka. Dan antara yang paling menarik perhatian ayahanda adalah betapa tsiqqah dan taatnya Khaleed terhadap Qiyadah ketika dilucutkan dari posisi keduniaan meskipun ketika dia berada dipuncak prestasi beliau.

Atas sebab sebab diataslah kenapa namamu yang pertama adalah Khaleed. Meskipun ayahanda berharap dirimu tidak menemui Tuhanmu ditempat tidur.

Ada yang bertanya, kenapa ayahanda begitu tertarik dengan tokoh tokoh syuhada dari Palestin. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana ayahanda percaya, bumi yang tidak pernah surut dari jihad tersebut adalah “cahaya-nur” Allah yang tetap menyala meski seberapa kelam pun dunia Islam ditempat yang lain. Palestin seolah olah api kecil yang sentiasa menyala yang menjadi sumber api untuk menyalakan semangat jihad ditempat tempat yang lain. Dan rahim rahim hebat disana tidak pernah berhenti melahirkan mutiara-permata indah untuk menyemangati ummah termasuk dizaman yang penuh fitnah ini.

YAHYA AYYASH adalah salah satu dari permata unggul tersebut. Beliau adalah sosok muslim yang cerdas, seorang jurutera yang hebat, yang cintakan semangat perlawanan. Beliau adalah seorang yang punya kesedaran penuh bahwasanya seluruh kepandaian yang ia miliki adalah milik Allah dan harus digunakan untuk kemaslahatan umat banyak, bukan justeru hanya untuk memperkaya diri dan keluarga. Beliau benar benar seperti namanya Yahya yang bermaksud “sentiasa hidup” setelah mendapatkan syahidnya, seperti yang difirmankan Tuhannya bahwa orang yang syahid itu tidak mati, malah terus hidup dan mendapat keberkatan yang berterusan. Ayyash; bermaksud mereka yang memiliki hidup yang lama. Beliau turut membuktikan kemaqbulan doa ibubapanya dengan nama tersebut ketika bukan sahaja hidupnya, malah kematiannya meng”hidup”kan jutaan mujahid lainnya, tanpa mengenal sempadan geografis dan waktu.

Dan dari kedua tokoh hebat diatas, maka ayahanda menamakanmu dengan nama KHALEED AYYASH. Semoga figur pahlawan silam dan moden tersebut tercurah dalam diri, akhlak dan perilaku anakanda.

Dan seandainya ketika anakanda membaca warkah ini, ummimu atau mungkin ayahanda sendiri merisaukan dirimu kerana keberanianmu dalam menegakkan-meninggikan agama, ingatkan kembali akan doa yang kami pilih untukmu.

Dan ingatkan kembali juga doa baba tatkala ummimu sedang berjuang dengan kesakitan untuk melahirkanmu, “ya Allah, aku berjanji padamu, bahawa anak yang bakal lahir ini aku berikan untuk agama-dakwah-JihadMu, maka permudahkanlah kelahirannya”…

Dan Allah telah memberikan janjiNya dengan mengabulkan doa ayahanda ketika itu, sekarang sisa anakanda Khaleed Ayyash dan ayahanda untuk mengotakan janji tersebut.

Salam sayang dari Ayahanda
Khabbab Jamalludin/ Abu Farhat
17 Dzulka’edah 1431 H | 25 Oktober 2010