Abu Farhat Photoblog

Khaleed Ayyash

Posted in Abu Farhat Life by abufarhat on October 25, 2010

Kehadapan Anakanda tersayang

Dikala anakanda dapat membaca surat ini, ayahanda berharap anakanda sedang dalam keadaan sihat walafiat tubuh badan, tetap dalam iman, bahagia dalam ketaqwaan, mujahadah dalam perjuangan kebenaran.

Wahai anakanda
Ketahuilah ayahandamu ini, bukanlah seseorang yang kaya harta yang dapat mewariskan kekayaan untuk anak cucunya, bukanlah orang yang punya pangkat mahupun kedudukan yang kalian dapat berbangga dengannya. Kalaupun ayahanda punya kedua hal tersebut, ia hanyalah sebuah fatamorgana dunia yang tidak kekal, malah bisa menjadi  sebuah fitnah yang tidak akan membawa sebarang manfaat apapun.

Yang ayahanda ada, hanyalah sedikit kefahaman tentang betapa pentingnya doa seorang ayah buat anaknya. Dan tidak ada cara yang lebih baik untuk baba mendoakan anak anak baba secara berterusan kecuali dengan nama. Ya, nama yang ayahanda berikan buat anakanda.

Ayahanda percaya dengan sabda Nabi kita, bahawa nama itu adalah doa. Kerana setiap kali namamu dipanggil, disebut terutama oleh ummimu, ia seakan akan doa yang terus mengalir.

Oleh yang demikian, ayahanda tidak memberikan nama nama yang sedang menjadi trend, kerana trend untuk sesebuah nama hanya bersifat sesaat. Ada nama yang dulunya sangat popular, tapi sekarang tidak lagi. Begitupun sebaliknya. Ayahandaa tidak memberikan kamu nama nama orang yang terkenal dengan keduniaan, apalagi dengan maksiat, kerana tidak ada yang lebih ayahanda ingin anakanda dijauhkan daripada dirimu melainkan kecintaan berlebihan terhadap dunia ataupun peribadimu berbungkus dengan mazmumah.

Dan ketahuilah ayahanda tidak memberikan namamu atas dasar sedap didengar, kelihatan hebat atau alasan cetek lainnya, sekali lagi kerana baba percaya akan kekuatan doa yang dibawa oleh nama.

Anakanda,
ketahuilah, setiap peribadi hebat Islam memiliki tempat yang hebat dimata ayahanda. Namun setiap peribadi yang hebat, adalah manusia yang punya personaliti sendiri. Sebagai contoh mudah, Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab, kedua duanya sahabat setia nabi, kedua duanya memiliki jaminan syurga, dan kedua duanya mempunyai sejarah yang mereka tulis dengan tinta emas-amal mereka. Tapi tetap, mereka punya karakter yang berlawanan seperti antara langit dan bumi. Dan ayahanda adalah seorang yang tertarik dengan peribadi tegas, keras, seperti Umar.

Sosok lain dalam suku Saidina Umar, suku Bani Makzum, yang turut terkenal dengan kepahlawanan beliau adalah KHALEED IBN WALEED. Seperti yang anakanda ketahui, Khaleed adalah bukti nyata sosok Jeneral perang ulung dalam sejarah Islam. Khaleed seperti juga Umar, punya keberanian dalam membela mereka yang lemah, dan tidak kenal takut dalam mengisytiharkan keislaman mereka. Dan antara yang paling menarik perhatian ayahanda adalah betapa tsiqqah dan taatnya Khaleed terhadap Qiyadah ketika dilucutkan dari posisi keduniaan meskipun ketika dia berada dipuncak prestasi beliau.

Atas sebab sebab diataslah kenapa namamu yang pertama adalah Khaleed. Meskipun ayahanda berharap dirimu tidak menemui Tuhanmu ditempat tidur.

Ada yang bertanya, kenapa ayahanda begitu tertarik dengan tokoh tokoh syuhada dari Palestin. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana ayahanda percaya, bumi yang tidak pernah surut dari jihad tersebut adalah “cahaya-nur” Allah yang tetap menyala meski seberapa kelam pun dunia Islam ditempat yang lain. Palestin seolah olah api kecil yang sentiasa menyala yang menjadi sumber api untuk menyalakan semangat jihad ditempat tempat yang lain. Dan rahim rahim hebat disana tidak pernah berhenti melahirkan mutiara-permata indah untuk menyemangati ummah termasuk dizaman yang penuh fitnah ini.

YAHYA AYYASH adalah salah satu dari permata unggul tersebut. Beliau adalah sosok muslim yang cerdas, seorang jurutera yang hebat, yang cintakan semangat perlawanan. Beliau adalah seorang yang punya kesedaran penuh bahwasanya seluruh kepandaian yang ia miliki adalah milik Allah dan harus digunakan untuk kemaslahatan umat banyak, bukan justeru hanya untuk memperkaya diri dan keluarga. Beliau benar benar seperti namanya Yahya yang bermaksud “sentiasa hidup” setelah mendapatkan syahidnya, seperti yang difirmankan Tuhannya bahwa orang yang syahid itu tidak mati, malah terus hidup dan mendapat keberkatan yang berterusan. Ayyash; bermaksud mereka yang memiliki hidup yang lama. Beliau turut membuktikan kemaqbulan doa ibubapanya dengan nama tersebut ketika bukan sahaja hidupnya, malah kematiannya meng”hidup”kan jutaan mujahid lainnya, tanpa mengenal sempadan geografis dan waktu.

Dan dari kedua tokoh hebat diatas, maka ayahanda menamakanmu dengan nama KHALEED AYYASH. Semoga figur pahlawan silam dan moden tersebut tercurah dalam diri, akhlak dan perilaku anakanda.

Dan seandainya ketika anakanda membaca warkah ini, ummimu atau mungkin ayahanda sendiri merisaukan dirimu kerana keberanianmu dalam menegakkan-meninggikan agama, ingatkan kembali akan doa yang kami pilih untukmu.

Dan ingatkan kembali juga doa baba tatkala ummimu sedang berjuang dengan kesakitan untuk melahirkanmu, “ya Allah, aku berjanji padamu, bahawa anak yang bakal lahir ini aku berikan untuk agama-dakwah-JihadMu, maka permudahkanlah kelahirannya”…

Dan Allah telah memberikan janjiNya dengan mengabulkan doa ayahanda ketika itu, sekarang sisa anakanda Khaleed Ayyash dan ayahanda untuk mengotakan janji tersebut.

Salam sayang dari Ayahanda
Khabbab Jamalludin/ Abu Farhat
17 Dzulka’edah 1431 H | 25 Oktober 2010

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: